PETALING JAYA, 29 NOV 2007: Siri animasi buatan Malaysia, Upin & Ipin berjaya dinobatkan sebagai Animasi Terbaik dalam Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 (KLIFF07) yang bermula di sini, malam tadi.
Pengumuman itu dibuat pada majlis pembukaan KLIFF07 yang berlangsung di Hotel One World, di Bandar Utama, di sini.

Turut diumumkan ialah Filem Pendek Terbaik yang berpihak kepada Wing dari Singapura manakala Dokumentari Terbaik dimenangi karya bergelar 4 dari Australia.
Hadir menyampaikan hadiah malam tadi ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Senator Tan Sri Jins Shamsuddin serta Ketua Pengarah FINAS, Encik Mohd Mahyidin Mustakim.
Antara VIP lain yang hadir termasuklah Timbalan Menteri Kebudayan, Kesenian dan Warisan, Datuk Wong Kam Hoong serta Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Zakiah Ahmad.
Di samping itu, barisan delegasi dari negara luar yang mengambil bahagian juga kelihatan seperti Thailand, China, Thailand, Uzbekistan, Iran, Venezuela, Kanada dan United Kingdom.
Bagaimanapun, suasana glamor yang diharapkan pada pembukaan festival tidak terpancar kerana tidak ramai bintang filem ternama kelihatan. Secara keseluruhan, majlis itu lebih kepada makan malam bercorak kebudayaan, mungkin bagi menyesuaikan dengan tema sambutan iaitu kepelbagaian budaya.
Mujurlah kelibat beberapa wajah terkenal seperti Maya Karin, Raja Farah, Nassier Wahab, Imuda dan Che’ Kem (pelakon watak Tunku Abdul Rahman dalam 1957: Hati Malaya), menyelamatkan keadaan. Antara produser dan pengarah yang sempat meluangkan masa ialah Ahmad Puad Onah, Khatijah Abu Hassan, Raja Azmi, Rosnani Jamil, Datuk Jamil Sulong, Anwardi Jamil, Shuhaimi Baba dan U-Wei Saari.
Sementara itu, pelbagai acara sampingan disediakan penganjur sepanjang lima hari acara berlangsung. Ia termasuklah tayangan filem menarik secara percuma, simposium dan pameran perfileman.
Malam Gala Anak Halal akan berlangsung pada 1 Disember ini di Cathay Cineleisure, Damansara dan acara penutup memilih tempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Disember ini. Selain Anak Halal, Malaysia turut menyandarkan harapan kepada filem 1957: Hati Malaya.
RSS feed for comments on this post · TrackBack URI
Leave a reply